JellyPages.com

April 28, 2011

kaseh nya dye . .

    
  Hye kekawan !! arinie aku update blog dengan mmprbaharui 1kisah yang pernah aku tulis dalam NOTE aku hari tuhh . . mybe ade yang dah baca tapi aku nak bentangkan d blogger aku agar ia kekal d sini dan kekal d ingatan kita semua sebagai ANAK . . hayatilah sejenak !


17 September, 7. 55 pagi . .
 
SAYA cuci celahan cuping telinga abah ketika air masih disiram ke mukanya. Saya lakukannya perlahan-lahan agar tidak menyakiti abah. Biar ia bersih, tiada kotoran lagi  . . Sambil itu saya pandang segenap wajah abah yang dulu aku tinggal . Abah bagai tersenyum dalam tidurnya . .
  
Setitik air jernih jatuh dari kelopak mata ini apabila saya menatap mata abah yang terkatup rapat. Saya terkenangkan anak mata abah yang tajam. Saya takutkan mata itu. Apabila abah marah, matanya itu merenung saya bagai seekor singa. Mata putihnya menjadi merah berurat. Saya menggeletar.

Air masih disiram ke muka dan kepala abah. Rambut ini . . Rambut yang beruban ini saya usap perlahan-lahan ketika air mengalirinya. Sudah banyak uban di kepala abah. Terkenang saya suatu ketika dulu, ketika umur tujuh lapan tahun, abah akan berikan 10 sen upah mencabut ubannya. Ketika itu uban di tepi kepala abah baru beberap helai . .

Di ketika yang lain abah menghulurkan 10 sen lagi sebagai upah memijak-mijak belakangnya selepas letih seharian bekerja; awal pagi menoreh, tengahari dan petang bawa bas sekolah. Indah sungguh saat abah tersenyum membawa kami dengan basnya keliling kampung.

Senyum abah meleret bila saya memberitahunya saya dapat nombor satu dalam kelas, mewakili daerah dalam bola sepak dan akan naik ke pentas untuk mengambil hadiah sebagai salah seorang pelajar terbaik di sekolah. Abah belikan saya jam . .

Tapi usia remaja telah merubah diri ini. Di saat itu saya jadi tidak suka bila mata abah merenung tajam apabila saya balik lewat malam. Mata abah merah berurat bila melihat saya berkawan dengan budak budak yang tidak disukainya . .kalau abang balik lewat, kenapa tidak marah ? Kenapa tidak bertanya ? Kalau dia berkawan dengan si polan itu dan sipolan ini, kenapa tidak tenung dengan mata merah ? Tapi kenapa kalau saya abah menengking ?

Saya tidak mahu lihat muka abah. Abah di dapur, saya ke depan. Abah kedepan, saya ke dapur. Saya lebih suka kalau abah tiada di rumah . .Saya benci dengar suara abah. Saya tidak suka mendengar kata-katanya, sebab yang keluar selalunya marah-marah saja. Abah tidak adil. Kemarahannya untuk saya, sedangkan senyuman dan kata-kata lembut pula untuk adik-beradik lain.

Saya kesat setitis air yang telah tumpah kedagu ketika mengusap perlahan tangan dan jari-jemari abah. Tangan ini. Ya, tangan sasa ini. Inilah tangan yang pernah menampar pipi saya kerana menghisap rokok. Inilah tangan yang membuatkan bibir saya pecah berdarah. Inilah juga tangan yang pernah bercekak pinggang, kemudian mengambil sebatang kayu mengugut untuk dihayun ke tubuh saya.

Saya tidak suka tangan abah ini sebab ia juga pernah menampar pipi saya ini kerana pulang ke rumah pada pukul 2.30 petang, ketika orang sudah pulang dari bersembahyang Jumaat. Saya tidak menangis, tapi saya jadi semakin benci pada abah. Saya tidak suka melihat abah lagi.
Air terus disiram. Saya renung kaki abah dan usapnya perlahan-lahan supaya abah tidak berasa sakit, supaya tiada lagi kekotoran melekat. Inilah kaki yang pernah menyepak saya kerana tidak mengambil pen dan buku yang abah minta. Saya tidak menangis. Tidak sekali-kali. Tapi saya semakin benci pada abah. Saya lebih benci lagi pada kakinya ini.

Abah bukan lagi abah yang saya sayangi semasa umur saya tujuh lapan tahun. Kasih sayang abah bukan untuk saya dan kasih sayang saya pun bukan untuk abah.

Begitu lama saya menyimpan marah kepada abah, hinggalah suatu pagi pada 1991. Pukul 3.00 pagi itu abah menunggu di stesen bas untuk mengambil saya yang mula bercuti semester.
Di dalam kereta yang sedang meredah kedinginan pagi, saya pandang muka abah. Saya melihat kedutan di pipi abah, sama macam kedutan yang saya lihat dalam gambar abah beberapa bulan sebelum itu. Abah sudah tua! Usianya belum tentu panjang lagi...

Di saat itu suatu perasaan hiba menyelinap ke dalam dada. Saya diburu rasa bersalah . . Kenapa dengan saya ini. Saya membenci abah sendiri. Kenapa? Saya tidak mahu bercakap dengannya sedangkan setiap kali saya beritahu saya akan balik bercuti, abah akan menunggu di stesen bas tidak kira pukul berapa. Pukul 1.00 pagi, 2.00 pagi, atau 4.00 pagi sekalipun, abah tetap akan menunggu . .

Abah tetap menjemput saya biarpun anaknya ini tidak akan bercakap sepatah pun dengannya dan berpura-pura pejamkan mata konon mengantuk, sebenarnya malas berbual kerana tidak suka mendengar suara abahnya . .tapi malam itu, dalam dingin dinihari itu, saya tiba-tiba diasak supaya bercakaplah sedikit dengan abah kamu ini. Kenapa dengan kamu ni ? Tidak nampakkah abah kamu sudah tua? Tidak nampakkah lagi kasih sayangnya pada kamu ?

Perasaan sayu dan bersalah Itu datang silih berganti. Lantas saya bertanya khabar abah. Abah tersenyum, kemudian bercerita pula tentang emak. Diceritakan juga abah tentang si polan itu sudah meninggal dunia manakala jiran kami sedang sakit . .

" Dah tua . . " kata abah, bagai menyatakan usianya juga sudah tua . .

Saya bertanya pada abah tentang anak getah yang baru ditanam semula. Abah bercerita pula tentang pokok durian dan rambutannya yang sedang merendang.

Saya tertawa bila abah ceritakan dia membaling anak-anak babi yang merayau di kebun getah. Saya ketawa . . Ya . . buat pertama kalinya saya ketawa ketika berbual dengan abah !! Tanpa sedar, kami terus berbual dan ketawa sampailah ke rumah. Buat pertama kalinya perjalanan dengan abah saya rasakan terlalu singkat. Saya tidak puas. Ada sesuatu yang sedang mengalir di dasar jiwa saya. Sukar untuk menyatakan perasaan itu. Mungkin sebaris ayat dapat meringkaskannya; saya sayangkan ayah.

Perasaan kasih itu makin segar apabila petang esoknya abah membawa saya dengan motosikal ke kebun kami yang masih ditumbuhi anak-anak getah yang baru ditanam . .Abah bawa saya hingga ke puncak sebuah bukit yang gondol. Di puncak itu abah menunjuk ke satu arah sambil berkata, "Rumah kita kat sana. Dulu abah naik basikal dengan emak engkau nak ke kebun kita."

Abah tunjuk pula ke satu lorong dan berkata, "Di sana itu tempat abah dengan emak engkau bertembung dengan gajah . ." Setelah itu abah tunjuk ke arah lain dan memberitahu, " Di sana tu bandar Segamat, di sana. Labis, di sana Pahang..."

Di hujung sana, langit membiru.Bumi menghijau saujana mata memandang. DI puncak bukit yang gondol ini,saya tertawa bersama abah. Abah tidak tahu, dalam ketawa itu suatu perasaan sayu sedang menyelinap di dada ini. Suatu perasaan yang tidak terucapkan.

Saya terasa begitu ingin menghabiskan masa bersamanya. Ya, buat pertama kalinya saya terasa gembira bersama abah. Cuti semester itu dirasakan terlalu pendek. Saya belum puas menatap mata abah. Kalau boleh ingin saya genggam tangan abah dan menciumnya, tapi saya belum berani.

Sehinggalah saya bekerja dan berumah tangga, hubungan saya dan abah tersangat akrab. Saya seperti mendapat semula seorang abah dan abah seperti mendapat semula anaknya yang pernah hilang, hinggalah pada tengahari 21 Mac 1996, apabila saya menerima panggilan telefon dari kampung.

" Sabar Zul... abah dah meninggal. Sakit jantung... "

Abah meninggal? Saya menangis sebaik menerima berita itu. Ya Allah, kenapa cepat benar abah pergi? Lima tahun terlalu singkat untuk saya merasakan semula kasih sayang abah.

Abah... maafkan saya. Maafkan saya kerana pernah membenci abah!

Senja ini abah terbujur di depan saya, kaku tidak bernyawa. Saya terus menangis semasa memandikan jenazahnya. Saya kesal, kenapalah baru kali ini saya memandi dan mengusap tubuh abah. Kenapa saya lakukannya sekarang, bukan semasa dia masih hidup?

Setelah tubuh abah siap dikapan, saya cium dahi abah dengan linangan air mata. Untuk ke sekian kalinya saya berbisik meminta maaf kerana pernah membencinya. Di saat itu saya sedar memang saya yang bersalah. Abah garang kerana sayangkan saya. Kerana saya nakal, degil, tidak mendengar kata . . Kerana penampar abahlah saya tidak merokok sampai kini, kerana kegarangan abahlah saya belajar bersungguh-sungguh, kerana mata abah yang merah berurat itulah saya jadi orang yang berdisiplin dan bekerja keras . .Lantas, dengan air mata yang masih bercucuran, saya cium pula pipi abah dan berbisik bahawa saya sayangkan abah. Setelah itu saya pegang tangan abah yang berkiam di dalam balutan kain kapan.

Tangan yang pernah menampar pipi saya itu saya cium dan berbisik lagi, meminta ampun dan betapa saya sayangkan abah .. air mata ini terus mengalir. Saya kesal kerana saya hanya menyatakan rasa kasih dan sayang itu ketika abah sudah tiada lagi . . .


  p/s :: Niat saya bukan nak aib kan sesiapa cuma untuk di jadikan pengajaran atas segala perbuatan kita selama nie . . baek buruk nye dye . . dye tetap bapa kita !! Saya Sayang Abah Saya (:

Warkah di atas adalah pengalaman sebenar seseorang sahabat saya . . Beliau mencatatkannya sempena Hari Bapa yang diraikan pada 18 Jun 2006, untuk dijadikan renungan para pembaca sekalian. Lebih penting lagi kepada anak-anak, supaya mereka menghargai jasa seorang lelaki bernama bapa. . .

0 budak maen batu serembang: